Tuesday, July 3, 2012

5 Syarat Utk Melakukan Maksiat


Pada suatu hari, terdapat lelaki yang menemui Ibrahim Bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak. Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.” Setelah mendengar perkataan itu, Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh melakukan maksiat.” Lelaki itu dengan tidak sabar - sabar bertanya. “Wahai Aba Ishak apakah syarat – syarat itu?”

Ibrahim Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah SWT, jangan kamu makan rezekinya.” Mendengar akan itu, dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di muka bumi ini rezeki Allah SWT??” “Ya” tegas Ibrahim Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masihkah kamu ingin makan rezekiNya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melakukan maksiat dan melanggar larangan-Nya?”

“Yang kedua, kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!” Syarat itu membuatkan lelaki itu terkejut. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah. Adakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?” “Ya, anda benar.” Kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat yang tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya !” Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat yang macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita!” “Ya. Kalau kamu memang yakin, adakah kamu masih mahu melakukannya?” Kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan. “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, “Ketepikan dulu kematianku. Aku masih belum bertaubat dan melakukan amalan soleh.” Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar. “ Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku.” “Wahai Abdullah, kalau kamu sudah menyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana kamu boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apakah syarat yang kelima?” Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah, kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan itu membuatkan lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak akan membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidah tertahan lagi mendengar kata Ibrahim, lalu bercucuran air matanya. “Mulai saat ini, aku bertaubat kepada Allah.” Katanya sambil menangis teresak – esak.




No comments:

Post a Comment