Kawan
– kawanku mengata aku gila, aku hanya
tersengih, kemudian ada menambah mengatakan aku lupa asal keterunan. Biarlah
mereka berkata, aku tetap teguh dengan cintaku. Memang aku tergila – gilakan
Julia. Aku jatuh cinta dengan Julia sejak dulu lagi. Julia langsung tiada
perasaan terhadapku walaupun berkali – kali aku luahkan betapa suka dan
cintanya aku kepada Julia. Julia hanya diam dan kadang – kadang berlalu begitu
sahaja apabila aku berjumpanya untuk meluahkan rasa cinta.
Aku
tetap tidak kenal erti putus asa. Setiap petang aku pasti menunggu Julia di
bawah pohon sena di padang pinggir kampung. Julia selalu berada di situ. Aku
sendiri tidak mengerti tingkah laku Julia. Kalau memang dia tidak sudi, mengapa
dia selalu lepak di padang ini ? Aku ketawa dan ketawa hingga terkeluar segala
apa yang aku makan semalam. Entah –
entah Julia memang sengaja hendak jual mahal dan suka apabila diusik. Aku
percaya, walaupun sedikit, pasti ada sekelumit rasa suka Julia pada aku.
Masakan dia selalu lepak dan bersembang di kawasan aku. Aku memuji sikap Julia
dalam hati. Dia bukan gadis sembarangan. Dia tidak pernah berjalan sendirian,
setiap langkahnya pasti berteman kawan – kawan.
Seperti
petang sebelumnya aku menanti Julia di tempat biasa. Beberapa orang budak
kampung yang lalu lalang menjeling aku dan ada diantaranya yang bercakap –
cakap seperti mencemuhku. Aku buat tidak tahu, apalah sangat hendak dilayan
budak setahun jagung seperti mereka. Aku buat – buat tidak nampak dan sesekali
aku membedek bunga lalang dan mengunyah hujungnya. Aku sudah tidak senang duduk
sejak tadi. Kelibat Julia langsung tidak kelihatan hari ini. Hanya rakan – rakan Julia yang sedang bertenggek di bawah pokok ketapang di hujung
sana. Hendak bertanya tentang Julia, aku malu. Aku sedar diri aku. Aku tidak
mahu diketawakan lagi. Tadi ketika lalu di warung Kak Siti, aku ada mendengar
orang – orang kampung bercakap tentang Julia.
“Hari
tu sorang tauke dari pekan datang jumpa Pak Salleh.”
“Jadi
Orang Kaya Besarlah Pak Salleh nanti” ada suara menyampuk.
Antara bait butir
yang sempat dicuri dengar oleh aku. Hendak saja aku bagi penampar arab mulut
cabul Abang Bakar, Pak Hassan dan beberapa orang kampung yang setiap hari
bersidai di warung Kak Siti. Tapi aku tidak meneruskan hajatku. Apalah dayaku,
aku sedar siapa diri ini dan aku terus berjalan mempercepatkan langkahku,
semakin sayup bunyi mengekek seisi warung. Dasar manusia durjana yang memang
suka ketawa dan bergembira di atas kehancuran satu jiwa, aku berfalsafah
seorang diri.
Alunan
suara bilal melaungkan azan sayup – sayup kedengaran. Aku menyapu mukaku, tidak
sedar hari sudah menginjak ufuk senja. Julia yang ditunggu langsung tidak
menjengah. Benarkan Julia kesayanganku sudah dipinang orang ? Jika benar,
alangkah tersiat hatiku yang satu ini lantas menjadi debu dan dipijak orang
sesuka hati. Jika khabar orang yang didengar benar belaka, tidak sanggup lagi
aku untuk terus hidup terseksa menanggung derita andai Julia tiada dalam
pandangan. Tersayat pedih hatiku yang masih terluka. Biarpun Julia tidak pernah
bagi respon padaku, aku tidak mungkin berpaling arah. Aku sanggup menunggu
hingga terlerai nyawa dari badan sehingga Julia mengangkat diriku sebagai
kekasih hatinya. Walaupun sampai sekarang Julia tidak sudi membalas cinta
suciku, aku percaya kesungguhanku pasti membuahkan hasil. Saat indah pasti akan
tiba. Aku hanya perlu bersabar. Aku menaruh keyakinan. Aku tidak akan cepat
mengalah. Aku akan setia menunggu seribu tahun lama lagi. Tapi benarkah hidup
aku selama ini ? Biar berputar utara selatan ku tak putus harapan, sedia setia.
Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah aku akan terus setia menanti. Tidak
sesekali aku menidakkan rasa cinta pada Julia. Aku sudah bersumpah ketika
pertama kali melihat Julia. Dahulu aku sering mencuri pandang hanya untuk
melihat Julia, kini tidah lagi setelah ku meluahkan rasa cintaku. Aku menjadi
berani untuk bertentang pandang dengannya. Aku sudah tidak segan untuk menegur
beliau. Dialah cinta dan nyawa hatiku. Aku berhasrat menyunting Julia suatu
saat nanti.
Aku
mula mebayangkan sebuah kehidupan bahagia yang bakal aku ciptakan bersama
Julia. Sebuah keluarga harmoni dan diserikan dengan kelahiran zuriat – zuriat
kami yang comel dan berakal pintar. Aku yakin dengan cara ini aku boleh
mengubah masa depanku sekaligus masa depan generasiku.
Aku
tidak pernah sekolah, tidak pandai tetapi untungnya aku ada mendengar tentang
perkahwinan campur yang dianjurkan oleh Iskandar Dzulkarnain. Aku tidak kenal
langsung siapakah gerangan Iskandar Dzulkarnain. Aku tahu pun ketika Atan
membaca kuat – kuat Sejarah PMR bersama – sama aku di suatu petang ketika kami
melepak di halaman rumah Atan. Di sinilah aku jatuh cinta pandang pertama
dengan Julia ketika dia melalui jalan di hadapan rumah Atan bersama Pak Salleh.
Aku
leka dibuai perasaan cinta yang sudah semakin lama mengayuti tangkai hatiku.
Langsung aku tidak hiraukan nyamuk – nyamuk yang semakin rakus menghurung
badanku. Hari sudah semakin gelap tanpa disedari aku masih mengharapkan
kedatangan Julia. Tiba – tiba aku terdengar namaku dipanggil berulang kali. Aku
masih tidak sedar, mataku terpejam mengingatkan Julia yang berkulit sawo kuning
montok. Aku tersengih – sengih membayangkan olengan punggung Julia yang kembang
padat.
“Dah
agak dah,ko mesti kat sini.” Aku masih khayal.
“Samad,
jom balik cepat. Bapak dah bising tuh.”
“Cepatlah,
citer Upin – Ipin nak start dah ni ! "
Aku
tersedar dari lamunan sebaik aku terasa libasan – libasan kecil mengenai
badanku dan perlahan aku bangun mengekori Atan yang mengusap – usap belakang
badanku.
“Tadi
bapak cakap nak jual ko, tapi aku takkan benarkan. Walaupun ko hanya seekor
kambing tapi aku sayangkan ko. Aku tak nak ko kena jual macam lembu betina Pak
Salleh tu.”
Aku
terkedu...memang sah Julia dah tiada. Julia kena jual dekat tauke yang datang
dari bandar seperti yang didengariku di warung Kak Siti tadi. Hancur luluh
hatiku saat ini dan impian aku untuk menghasilkan anak – anak bermutu untuk
memartabatkan bangsa kambing juga perlahan – lahan terkubur. Aku pasrah dengan
kehendak Julia. Mungkin Julia bukan jodoh untukku. Biarpun sepi mencengkam saat
ini namun aku gagahkan diri untuk pulang.
No comments:
Post a Comment