Friday, June 22, 2012

Perginya Seorang Sahabat 1


Ya Allah ...
Sahabatku buah hatiku
Mesra kami penawar duka
Rindu kami menambah cinta
Rujuk kami membuah ceria

Ya Allah ...
Silaturrahim kami, ukhuwah fillah
Bermusuh kami, nauzubillah
Berpisah mati, innalillah
Pengubat hati dan doa rabitah

Ya Allah ...
Rahmatilah kami meniti usia
Terpisah kami di alam nyata

Ya Allah ...
Aku mohon kepada-Mu Ya Allah
Temukan kami semula di taman syurga-Mu ...

Suasana di tanah perkuburan Islam Syed Yahya diselubungi perasaan sedih dan pilu. Orang ramai telah beransur – ansur meninggalkan pusara sahabatku itu. Sahabatku.. Ya ! Sahabatku yang telah kembali kepada Penciptanya. Awan yang berarak mendung menemani aku ketika ini. Kakiku masih tidak mahu berganjak dari pusara milik sahabatku ini. Sisa – sisa air mata masih bertakung di ruang tubir mata. “Lia..” bibirku bergerak perlahan memanggil nama sahabatku itu. Aku juga tahu dan aku juga sedar ketika ini aku hanya bersendirian. Aku menyapu perlahan batu nisan yang tertera nama sahabatku itu.

Aku mengimbau kembali pertemuanku dengan Lia. Ketika itu, kami sama – sama mendaftar di SMK Tengku Intan Zaharah bagi kemasukan pelajar tingkatan 6 bawah. Disitulah bermulanyapersahabatan kami. Aku dan Lia tinggal di asrama dan kebetulan aku dan Lia ditempatkan di dalam dorm yang sama. Dari hari ke hari, hubungan persahabatan kami semakin kukuh. Apabila aku menghadapi masalah, sahabatku ini jugalah menjadi tempat aku mengadu dan berkongsi masalah. Sehingga dinihari itu, aku terjaga apabila terdengar suara Lia seolah – olah sedang menahan kesakitan. Aku mendemah dahinya, terasa panas. Aku memanggil nama Lia berulangkali, namun tiada jawapan. Dalam keadaan cemas, aku terus meminta bantuan rakan lain untuk memaklumkan kepada warden tentang perkara itu.

Setibanya di hospital, Lia terus di bawa ke Unit Rawatan Kecemasan. Aku menghulurkan kad pengenalannya dan seorang jururawat menuliskan segala butiran di dalam buku rekod. Menjelang subuh, keluarga Lia sampai dengan ditemani saudara mara yang lain.

“Mak Cik, tolonglah beritahu saya Lia sakit apa yang sebenarnya...?” Aku merayu kepada emak Lia. Aku melihat butiran jernih mengalir membasahi pipi emak Lia.

“Sebenarnya...Lia menghidapi penyakit barah tulang. Dah hampir 6 bulan.” Suara emak Lia perlahan memberitahuku. Aku terjelepok di atas lantai.

“Ya Allah..” Hanya itu yang aku mampu ungkapkan ketika itu. Selepas Lia sedar, aku masuk ke bilik Lia setelah ahli keluarganya melihat keadaan Lia. Aku berjalan perlahan – lahan menuju ke sebuah katil. Aku melabuhkan dudukku di atas sebuah kerusi yang telah disediakan. Tanganku memegang tangan Lia dengan erat, tangan seorang sahabat yang sering menghulurkan bantuan apabila aku memerlukannya. Hatiku sedih... Jiwaku parah melihat keadaan Lia yang semakin lemah. Dari sinar matanya yang pudar, aku dapat menyelami penderitaan dan kesakitan yang ditanggung selama ini. Namun, Lia masih mampu menyembunyikan penderitaan itu disebalik senyumannya. Air mataku mengalir perlahan melihat keadaan Lia. Terketar – ketar jari – jemarinya menyapu air mataku. Aku tersenyum hambar lalu mendakap tubuh sahabatku itu dengan penuh perasaan sayu.

* * * * *

Pagi itu, Lia sekali lagi demam. Panas badannya amat luar biasa dan dia tidak ditinggalkan sendirian. Aku dan keluarganya bergilir – gilir menemaninya sambil membaca surah Yasin dan ayat – ayat suci Al – Quran. Aku berharap bacaan itu akan menjadi penawar dan meredakan kesakitan, atau sekiranya sudah sampai janji Allah, ambillah dia. Biarlah penderitaan yang ditanggung selama ini segera berakhir. Menjelang tengahari, Lia sudah tidak sedarkan diri lagi. Dia berada dalam keadaan koma. Aku semakin tidak dapat menahan sebak melihat keadaan Lia semakin tenat. Jari – jemarinya kakinya terasa sejuk petanda sedikit demi sedikit terpisahnya nyawa dari jasad Lia... Ayahnya membisikkan kalimah syahadah di telinganya...

“ Dia dah tak ada...” Suara Dr Nazmi yang perlahan menampar telinga kami. Kalau Dr Nazmi tidak memaklumkan sekalipun, kami sudah tau kerana alat pengesan denyutan nadi mempamerkan garisan halus di atas skrin.

Aku tergaman. Untuk seketika aku merasakan bahawa waktu seakan – akan terhenti. Kaku dan sunyi. Sehinggalah esakan keluarga Lia menyedarkan aku pada apa yang telah terjadi. Aku menerpa, mendakap sekujur tubuh Lia yang sudah terbujur kaku. Ratapan seorang sahabat yang baru sahaja kehilangan seorang sahabat meruntun hati ahli keluarga Lia yang berada di situ. Kini, Lia bebas. Bebas dari segala wayar yang tersirat di tubuhnya, bebas daripada monitor pengesan denyutan nadi dan jantung. Bebas dari kehidupan di alam pana yang penuh dugaan ini.

Kini, aku tinggal keseorangan. Sudah pasti aku akan menghargai sebuah persahabatan dan kenangan aku bersama Lia. Aku akan menyimpan segalanya di dalam lipatan memoriku.

Hujan yang turun renyai – renyai menyedarkan aku dari lamunan. Aku bangun dan melangkah perlahan – lahan meninggalkan pusara sahabatku yang masih merah itu. Kini Lia pergi untuk pengabdiannya kepada Allah SWT dan kehidupan juga akan ditempuhi tanpa seorang sahabat bernama Lia. Semoga roh Lia dicucuri rahmat, semoga dikau ditempatkan dalam kalangan orang – orang yang beriman. Al – Fatihah... Amin..

>> Luahan hati seorang sahabat 


No comments:

Post a Comment